Krisis biodiversiti meruncing, hidupan liar diancam kepupusan

Krisis biodiversiti meruncing, hidupan liar diancam kepupusan

JUMLAH Harimau Malaya di negara ini direkodkan kurang daripada 150 ekor dan dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi jika tiada tindakan melindunginya diambil. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan krisis biodiversiti yang meruncing berikutan spesies-spesies hidupan liarnya seperti Harimau Malaya, gajah dan tapir Malaya diancam kepupusan akibat pemburuan haram serta penyeludupan. 

10 spesies hidupan liar di Malaysia paling bernilai di pasaran gelap adalah Harimau Malaya (panthera tigris), gajah (elephas maximus), badak sumbu (diceros bicornis), harimau kumbang (panthera onca) dan beruang matahari (helarctos malayanus). 

Selain itu, spesies lain turut tersenarai adalah orang utan, harimau dahan (neofelis nebulosa), seladang (bos gaurus) dan buaya tembaga (crocodylus porosus). 

Nilai tinggi spesies-spesies ini di pasaran gelap menggambarkan betapa besarnya ancaman terhadap kelangsungan hidup mereka apabila setiap spesies menghadapi risiko akibat kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram. 

Kajian 1st National Tiger Survey (1st NTS) atau Tinjauan Kebangsaan Harimau Pertama di negara ini yang dilaksanakan sejak 2016 mendapati bilangan Harimau Malaya direkodkan adalah kurang daripada 150 ekor dan dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi jika tiada tindakan melindunginya diambil.

Anggaran populasi bagi gajah Asia di Semenanjung pula adalah antara 1,220 hingga 1,677 ekor manakala populasi di Sabah yang mana saiznya agak kecil berbanding di Semenanjung dianggarkan antara 1,000 hingga 1,680 ekor (populası gajah tidak terdapat di Sarawak).

Tapir Malaya turut tersenarai dalam spesies terancam dengan anggaran populasi yang dikemas kini melalui hasil cerapan data, aduan konflik hidupan liar dan data perangkap kamera program 1st NTS pada 2020 dianggarkan 700 ekor.

Spesies-spesies lain terancam adalah badak sumbu, harimau kumbang, orang utan, beruang matahari dan seladang.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, populasi spesies hidupan liar semakin terancam akibat pemburuan haram dan penyeludupan yang semakin meningkat. 

Menurutnya, kegiatan-kegiatan ini turut memusnahkan keseimbangan ekosistem negara.

“Kegiatan haram memberi impak besar kepada biodiversiti kerana ia mengurangkan jumlah spesies yang tersisa, mengganggu proses pembiakan dan keseimbangan ekosistem. 

“Selain itu, kehilangan habitat akibat pemburuan dan aktiviti manusia turut menyumbang kepada penurunan populasi spesies hidupan liar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Berdasarkan data terkini Perhilitan, kategori kesalahan jenayah hidupan liar iaitu pemburuan dan penyeludupan haram bagi 2019 hingga Julai 2024 menunjukkan trend agak membimbangkan.

Pada 2019, kesalahan jenayah penyeludupan adalah 17 kes manakala pemburuan haram  dua kes. Pada 2020, 10 kes direkodkan bagi penyeludupan dan 10 kes pemburuan haram.

Menurut laporan itu juga,  empat kes direkodkan bagi penyeludupan dan tiada kes pemburuan haram. Bagi 2022, berlaku peningkatan sebanyak 14 kes bagi penyeludupan dan empat kes pemburuan haram.

Selain itu, 12 kes dan lima kes dicatatkan bagi penyeludupan dan pemburuan haram pada 2023 manakala sehingga Julai 2024, masing-masing sembilan dan satu kes.

Pada 2021, empat kes penyeludupan tetapi tiada kes pemburuan haram manakala 2022, terdapat peningkatan ketara dengan 14 kes penyeludupan dan empat kes pemburuan haram. 

Turut dicatatkan 12 kes penyeludupan dan lima kes pemburuan haram pada 2023 manakala sehingga Julai 2024, masing-masing sembilan dan satu kes.

Dalam pada itu, Abdul Kadir memberitahu, sindiket penyeludupan haram menggunakan kemudahan teknologi seperti platform dalam talian bagi menjalankan kegiatan mereka.

Jelas beliau, Facebook, TikTok dan Instagram digunakan bagi  mempromosi dan menjual hidupan liar.

“Kebanyakan akaun media sosial ini menggunakan maklumat palsu bagi memastikan kegiatan mereka tidak dapat dikesan penguat kuasa.

“Urusan penghantaran biasanya melalui perkhidmatan kurier, pengangkutan awam seperti bas dan lori dan menggunakan bayaran tunai semasa penghantaran (COD),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, ada juga jualan terbitan hidupan liar seperti kuku, gigi dan taring di dalam platform e-dagang.

“Kegiatan penjualan hidupan liar dalam talian melibatkan penjual berlesen, tidak berlesen, pemburu haram atau pembiak baka haram dan sindiket.

“Ada di kalangan penjual tidak berlesen ini menggunakan nama syarikat mempunyai lesen perniagaan yang sah untuk menjual hidupan liar tanpa pengetahuan syarikat berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, perbezaan antara pasaran tempatan dan antarabangsa dilihat melalui beberapa faktor seperti proses penyeludupan haram hidupan liar mungkin melalui beberapa peringkat atau rantaian bermula dari pemburu haram, orang tengah, pembeli dan pengguna akhir. 

Menurutnya, setiap proses rantaian berkenaan mempunyai kos yang menyumbang kepada perbezaan harga di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Harga di pasaran gelap adalah berdasarkan kepada permintaan. Sekiranya permintaan tinggi terutama bagi spesies yang sukar diperoleh membolehkan penyeludup menetapkan harga lebih tinggi.

“Beza nilai mata wang memainkan peranan dalam pasaran hidupan liar di pasaran tempatan dan antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×