Kebolehpasaran pelajar pertanian menurun

Kebolehpasaran pelajar pertanian menurun

AHMAD FARHAN MOHD. SADULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar keboleh­pasaran graduan pertanian me­nurun sebanyak 5.6 peratus, dar­i­pada 65.3 peratus 2022 kepada 59.7 peratus tahun lalu.

Statistik Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan penurunan itu disebabkan kurangnya kemajuan dalam sektor pertanian itu sendiri.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, bidang pertanian menghadapi terlalu banyak cabaran yang perlu diatasi bagi membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar pertanian supaya mereka dapat bekerja dalam bidang tersebut.

“Malangnya, Malaysia masih belum mencapai tahap kemajuan pertanian yang diperlukan bagi membolehkan akses kerjaya dalam bidang pertanian dibuka.

“Penggunaan teknologi dalam sektor pertanian di Malaysia masih kurang maju, yang menyebabkan sektor ini dilihat sebagai sektor ekonomi yang miskin dan kurang berdaya saing.

“Sebab itu, UPM berusaha untuk meningkatkan daya saing pertanian melalui pelbagai projek yang melibatkan teknologi, seperti projek agropreneur untuk memajukan lagi sektor pertanian,” katanya ketika ditemubual oleh Utusan Malaysia.

UPM merekodkan kemasukan pelajar dalam bidang pertanian di peringkat sarjana muda seramai 280 orang pada 2019, 244 (2020), 204 (2021), 207 (2022) dan 247 (2023).

Tambah beliau, masalah kelewatan Malaysia dalam penggunaan teknologi dalam bidang pertanian turut memberi impak negatif.

“Sektor pertanian dikenal pasti sebagai salah satu sektor yang paling perlahan dalam mengadaptasi teknologi canggih, seperti teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kekangan kewangan, kurangnya pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam kalangan petani, serta kekurangan infrastruktur yang menyokong teknologi-teknologi baharu ini,” jelasnya.

Menurut beliau, kurangnya penggunaan teknologi menyebabkan sektor pertanian ke­tinggalan dalam meningkatkan produktiviti dan sering dianggap sebagai sektor yang kurang berdaya saing serta sektor ekonomi yang lebih lemah.

Oleh itu, UPM, dengan kerjasama universiti-universiti lain, turut menjalin kerjasama erat bersama Kementerian Keterjaminan Makanan untuk memberikan sumbangan idea dalam meningkatkan lagi teknologi pertanian.

“Kerjasama ini sangat pen­ting kerana dari sinilah kita boleh berbincang dari sudut pandang pakar dan kita bentangkan kepada kerajaan langkah-langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN