AMMAN: Jordan mengesahkan kes pertama virus cacar monyet atau Mpox di negara itu semalam, sekali gus yang pertama dilaporkan di Asia Barat.
Menurut Kementerian Kesihatan, kes dikesan terhadap seorang warga asing berusia 33 tahun, yang kini dirawat di sebuah hospital di Amman dan dilaporkan stabil.
Kementerian berkata, pihaknya akan menangani sebarang perkembangan berkaitan penyakit dengan telus.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan situasi Mpox global sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.
Lebih 12 negara Afrika melaporkan wabak Mpox, dengan Republik Demokratik Congo merekodkan lebih 90 peratus kes yang dilaporkan.
Varian yang menular di Afrika dipercayai lebih mudah berjangkit dan membawa maut berbanding varian ‘clade II’, yang menjadi punca wabak global yang bermula pada tahun 2022.
Mpox adalah penyakit virus yang merebak melalui sentuhan rapat dan bahan tercemar seperti cadar, pakaian, dan jarum, menurut WHO.- ANADOLU










