NEW DELHI: India merekodkan kes disyaki Mpox melibatkan seorang lelaki yang pulang dari negara yang sedang mengalami wabak virus tersebut baru-baru ini, demikian menurut Kementerian Kesihatan pada Ahad.
Pesakit tersebut kini diasingkan di hospital dan berada dalam keadaan stabil, kata kementerian itu.
Kementerian tidak menyatakan jenis strain virus Mpox yang dihidapi oleh pesakit, namun ujian sedang dijalankan untuk mengesahkan jangkitan.
Mpox boleh merebak melalui sentuhan rapat walaupun biasanya ringan, namun, ia boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku.
Virus ini menyebabkan gejala seperti selesema dan lesi bernanah pada badan.
“Kes ini sedang diuruskan mengikut protokol yang ditetapkan, dan pengesanan kontak sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber berpotensi serta menilai kesan dalam negara,” kata kementerian.
Bulan lalu, akhbar harian The Hindu melaporkan bahawa India telah berjaga-jaga sejak satu strain baru Mpox menjadi lebih ganas di Afrika.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ini sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa selepas varian baru tersebut dikenal pasti.
India mengesan 30 kes strain lama, dikenali sebagai clade 2, antara 2022 hingga Mac 2024.- AGENSI










