MELAKA: Jabatan Perikanan mendedahkan beberapa sungai di negeri ini mula diancam kebanjiran ikan bandaraya atau nama saintifiknya hypostomus plecostomus.
Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada kaki pancing yang mendakwa hasil tangkapan menunjukkan kemerosotan.
Menurutnya, pemantauan dan program inventori telah dilaksanakan di beberapa sungai dan mendapati hanya sesetengah kawasan mempunyai populasi ikan berkenaan.
“Walaupun spesies itu tidak mendominasi semua sungai, namun usaha memburu dan mengeluarkannya perlu dilakukan segera.
“Sehingga kini kami masih mengumpul maklumat terperinci daripada pelbagai sumber di setiap jajaran sungai di Melaka. Maklumat ini amat penting untuk kita mengenal pasti sungai mana yang mempunyai populasi ikan bandaraya paling banyak dan langkah untuk mengurangkan populasi ikan ini.
“Namun, kami menghadapi masalah untuk melaksanakan inventori tersebut kerana terdapat kekangan iaitu sebahagian besar sungai didiami buaya seperti Sungai Siput di Brisu, Sungai Paya Lebar di Masjid Tanah, Sungai Malim di Kampung Tengah, Klebang serta beberapa lokasi lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Saufi Affandi, setiap tahun pihaknya mengadakan inventori di beberapa sungai terpilih bagi melihat dan merekodkan spesies terdapat di perairan.
Katanya, ikan bandaraya mudah membiak dan membesar sehingga 1.5 kilogram (kg) lantas memberi ancaman kepupusan habitat ikan asli tempatan.
“Jika maklumat atau data menunjukkan wujudnya ikan bandaraya, beberapa program untuk memburu dan mengeluarkan spesies itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelak kepupusan ikan tempatan.
“Dengan tiadanya pemangsa serta sumber makanan mudah ditemui seperti alga, ikan ini mudah membiak dengan banyak. Ikan ini didapati mengorek dasar sungai atau tebing menyebabkan air sungai menjadi keruh, tebing sungai runtuh dan gangguan keseimbangan persekitaran akuatik,” jelasnya. – UTUSAN










