KAMPAR: Tarikh 31 Ogos bukan sahaja diraikan seluruh rakyat Malaysia tetapi cukup istimewa buat seorang wanita di sini yang menyambut ulang tahun hari jadinya kerana dilahirkan pada tarikh tersebut 67 tahun lalu.
Malah lebih istimewa, wanita itu yang lahir pada hari laungan kemerdekaan negara bergema diberikan nama Merdeka Ahmad.
Merdeka yang kini berusia 67 tahun bersyukur kerana bukan sahaja dapat menyaksikan seluruh rakyat meraikan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun tetapi dia juga menyambut hari jadinya pada setiap 31 Ogos.
Katanya, begitupun majlis hari jadinya tidak diadakan secara besar-besaran tetapi sekadar memotong kek bersama anak, menantu dan cucunya.
“Saya menyambut ulang tahun hari lahir saya tepat pukul 12 malam kelmarin atau di ambang Merdeka. Saya meraikan hari jadi saya bersama anak, menantu dan cucu di rumah saya di Temoh di Kampar.
“Sambutannya ringkas sahaja, hanya memotong kek dan anak serta cucu mengucapkan selamat hari lahir buat saya.
“Lebih bermakna kerana nama saya dinamakan sempena hari bersejarah itu iaitu Merdeka Ahmad,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sambutan hari jadinya diadakan secara sederhana kerana sudah biasa dengan sambutan sedemikan.
Wanita kelahiran Taiping itu berkata, dia diberikan nama Merdeka mungkin kerana semangat patriotik bapanya yang merupakan anggota Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu (Home Guard) sebelum negara mencapai kemerdekaan. – UTUSAN










