Dana RM5 bilion bangunkan projek raksasa pertanian

Dana RM5 bilion bangunkan projek raksasa pertanian

Anwar Ibrahim melawat reruai pameran selepas merasmikan 100 Tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan merancang beberapa projek mega dalam sektor pertanian termasuk pro­jek raksasa tanaman padi fasa pertama, dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM5 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan akan menekankan untuk meningkatkan hasil padi bagi pesawah terlibat serta menaikkan taraf hidup mereka.

“KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) akan memberi fokus terhadap peningkatan pengeluaran padi beras negara.

“Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan juga mahu semua kementerian dan agensi untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi menjamin produktiviti pengeluaran makanan negara tercapai,” kata beliau ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, apa yang menjadi cabaran kepada kerajaan dan agensi berkaitan ialah menggerakkan masyarakat khususnya golongan petani, pesawah dan nelayan untuk bersama-sama menerima perubahan dirancang.

“Bagaimana kita mahu ge­rakkan masyarakat, termasuk golongan petani, pesawah, nelayan untuk menerima perubahan ini, dan melonjakkan hasil dengan baik. Perkara ini perlu kerjasama semua pihak terutama petani itu sendiri,” katanya.

Selain itu, kata Anwar, amalan lama mengimport benih secara kartel dan monopoli perlu dihentikan serta-merta dan segala keputusan yang dibuat haruslah berdasarkan fakta, serta mengambil kira apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil negara ini.

“Kalau mahu jamin produktiviti maka seluruh ekosistem itu harus teratur, sama ada me­libatkan KPKM khususnya atau kementerian lain.

“Kemudian benih dan baja tidak boleh dibeli secara kartel dan monopoli seperti dahulu.
“Sebab itu kita perlu satu menteri dan KSU (ketua setia­usaha) yang tegas dan keras me­nyatakan bahawa amalan kartel lama untuk import baja mesti dan wajib dihentikan lansung,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berharap agar setiap subsidi yang diberikan kerajaan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil, berupaya memberikan pulangan yang baik kepada mereka.

“Ini sebenarnya tugas yang diamanahkan kepada KPKM dan saya lihat walaupun bergerak agak bertahap tahun yang pertama, tapi masuk ke tahun kedua di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu saya tengok tahap kelajuan itu menyakinkan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN