China, Russia adakan latihan ketenteraan bersama

China, Russia adakan latihan ketenteraan bersama

LATIHAN ketenteraan bersama bertujuan memperkukuhkan tahap kerjasama tentera antara China dan Russia.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China hari ini mengumumkan akan mengadakan latihan ketenteraan bersama Russia bulan ini ketika kedua-dua negara itu memperkukuhkan hubungan, sehingga menyebabkan NATO menggelar Beijing sebagai penyokong perang Moscow di Ukraine.

Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan memaklumkan, angkatan tentera laut dan udara akan mengambil bahagian dalam Latihan North-Joint 2024 di udara dan di sekitar Laut Jepun serta Laut Okhotsk, di luar pantai Russia.

“Latihan ini bertujuan memperkukuhkan tahap kerjasama strategik antara tentera China dan Russia serta meningkatkan keupayaan untuk menangani ancaman keselamatan secara bersama,” jelas kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan, kedua-dua pihak akan menghantar armada ke kawasan laut yang berkaitan di Lautan Pasifik untuk rondaan maritim bersama dan China juga akan turut serta dalam latihan strategik Russia, Ocean-2024.

Kementerian tidak memberikan tarikh khusus bila latihan tersebut akan dilaksanakan.

Julai lalu, kedua-dua negara mengadakan latihan bersama di perairan dan ruang udara sekitar Zhanjiang, sebuah bandar di wilayah Guangdong di selatan China.

Latihan tersebut berlaku pada minggu yang sama ketika pemimpin NATO memberi amaran bahawa China telah menjadi penyokong utama pencerobohan Russia di Ukraine.

Tindakan itu mendorong Beijing memberi amaran kepada blok ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) kerana sengaja mencetuskan konfrontasi.

Russia dan China meningkatkan kerjasama ketenteraan dan ekonomi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kedua-duanya menentang hegemoni Barat, terutamanya apa yang dianggap sebagai dominasi AS dalam urusan global.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×