POKOK SENA: Setelah lima hari terpaksa menghuni khemah kanvas di hadapan rumah yang dinaiki air, sebuah keluarga di Kampung Lengkuas Derang, di sini dapat menghela nafas lega kerana banjir di kawasan itu semakin pulih.
Menurut seorang penduduk, Farizan Saidin, 43, dia sekeluarga mengambil peluang mencuci rumah dan membersihkan kelengkapan rumah ekoran cuaca yang kembali cerah sejak awal pagi.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) kembali cerah kami tutup khemah dan kembali ke rumah kerana air surut. Kami tinggal di khemah di tepi jalan sebab penempatan sementara penuh. Rumah teruk dinaiki air sehingga paras pinggang kali ini.
“Banyak barang yang rosak sebab terendam dalam air sejak Rabu lepas. Ada yang terpaksa kami bakar sebab tak boleh guna seperti perabut dan kabinet,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Farizan yang menetap di Sungai Petani berkata, dia dan isteri, Siti Fatimah Abu Bakar, 37, serta dua anak mereka terpaksa pulang ke kampung untuk menguruskan ibunya, Noraini Shafie, 58, yang menetap di rumah berkenaan.
“Ketika kejadian hanya mak yang tinggal seorang diri, air naik cepat dan dia tidak dapat selamatkan barang. Ini kejadian kedua terburuk selepas banjir 2010 apabila rumah ini dinaiki air sehingga paras bumbung,” katanya.
Dalam pada itu tinjauan di kawasan terjejas sekitar daerah ini mendapati, penduduk yang terjejas mula pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.
Menurut seorang lagi penduduk di kawasan itu, Hamidah Din, 64, dia sekeluarga pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Alor Setar semalam apabila mengetahui air semakin surut.
“PPS di sini semua penuh jadi kami terpaksa pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah di Alor Setar. Jauh juga tapi apa boleh buat terpaksa pergi juga. Semalam balik sebab air sudah surut untuk bersihkan rumah.
“Kawasan ini memang selalu banjir sebab tepi sungai tetapi kali ini agak buruk selepas banjir 2010,” katanya.
Sementara itu, di Kampung Suka Menanti, Alor Setar, banjir yang telah surut sepenuhnya di kawasan itu turut memberi peluang kepada penduduk untuk mengemas rumah mereka.
Mohd. Izham Abdul Manaf, 32, berkata, banyak peralatan dan perabot dirumahnya tidak lagi boleh digunakan ekoran terendam terlalu lama sejak hampir seminggu lalu. – UTUSAN










