NEW DELHI: Lebih 60 maut akibat banjir besar yang tercetus akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu di tiga negeri India.
Bencana itu menjejaskan negeri Gujarat, Andhra Pradesh dan Telangana di selatan India, menurut pegawai semalam.
Gujarat merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 45 orang, diikuti Andhra Pradesh iaitu 10 kematian dan sembilan lagi di Telangana.
Pasukan tentera dikerahkan ke Gujarat, sebahagian kawasan terjejas banjir sejak 27 Ogos lalu, bagi menghantar bantuan dan membantu operasi menyelamat.
Ketua Menteri Andhra Pradesh, N. Chandrababu Naidu berjanji akan mempercepatkan usaha bantuan dan meminta penduduk yang terjejas untuk bersabar.
“Saya berharap penduduk yang terjejas akan kekal tabah,” katanya.
Di Telangana, Ketua Menteri, Revanth Reddy mengumumkan pakej bantuan kewangan sebanyak AS$5,960 (RM26,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat banjir.
Reddy juga mendesak kerajaan persekutuan untuk mengklasifikasikan bencana ini sebagai ‘bencana negara’.
Sementara itu, ketua pembangkang, Rahul Gandhi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyeru pemimpin serta pekerja Kongres untuk menggerakkan sumber bagi usaha bantuan dan menyelamat.
“Saya menggesa pemimpin dan pekerja Kongres untuk menggerakkan semua sumber yang ada bagi menyokong usaha bantuan dan menyelamat yang sedang berjalan,” tulis Gandhi di akaun X.- AGENSI










