Bangladesh gesa persidangan khas tangani krisis Rohingya

Bangladesh gesa persidangan khas tangani krisis Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bangladesh menggesa ‘persidangan semua pihak berkepentingan’ diadakan untuk menangani krisis Rohingya.

Gesaan itu disuarakan penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, ketika negara itu ‘mencapai hadnya’ untuk menampung komuniti paling teraniaya di dunia.

“Bangladesh sudah mencapai hadnya,” kata Muhammad pada satu acara ketika sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Sebagai ahli ekonomi terkemuka, beliau menyarankan persidangan khas diadakan untuk mengkaji krisis tersebut dan mencadangkan penyelesaian inovatif.

Muhammad turut menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan yang semakin merosot di kawasan sempadan, sekali gus menyeru pihak antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, untuk mengiktiraf cabaran ini dalam pendekatan mereka.

“Pemulangan yang tertangguh menyebabkan kehilangan modal insan, baik untuk Rohingya mahupun Myanmar,” katanya sambil memberi amaran cabaran dihadapi Myanmar boleh merebak ke negara jiran.

Beliau menegaskan, tiada seorang Rohingya dapat kembali ke Myanmar dalam tempoh tujuh terakhir disebabkan punca utama gagal ditangani.

Katanya, langkah pemulangan secara kekal adalah satu-satunya penyelesaian tuntas kepada krisis tersebut.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong keadilan dan mekanisme akauntabiliti bagi jenayah yang dilakukan terhadap Rohingya.

Sekitar 1.2 juta Rohingya menetap di Bangladesh sejak Ogos 2017, ekoran melarikan diri daripada tindakan ganas tentera di negeri Rakhine, Myanmar.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ratusan lagi pelarian Rohingya tiba di negara Asia Selatan itu.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN