NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menuduh Russia mengadakan perbincangan mengenai pemindahan senjata dengan kumpulan Houthi, bagi membenarkan kapal-kapalnya belayar di Laut Merah dengan selamat.
Bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Utusan Khas AS ke Yaman, Tim Lenderking mendakwa Moscow sedang mengadakan dialog dengan Houthi yang mengawal laluan perdagangan antarabangsa di Laut Merah.
“Kami telah mendapat pengesahan bahawa Russia dan Houthi sedang berdialog untuk menjalin kerjasama termasuk dalam pemindahan senjata.
“Kami tidak tahu sama ada senjata sedang dipindahkan ketika ini, tetapi ini adalah satu amaran dan kami akan memastikan ia tidak berlaku,” kata Lenderking.
Tambah beliau, jika pemindahan senjata itu dibuat, ia boleh menggagalkan usaha untuk mengakhiri perang di Yaman.
Russia meningkatkan hubungan ketenteraan dengan Iran dan Korea Utara, yang kedua-duanya berdepan sekatan, dalam usaha untuk memperkukuhkan gudang senjatanya dalam perang di Ukraine.
Hubungan Russia dengan AS merosot dengan ketara sejak pencerobohan di Ukraine, dengan Washington yang mengetuai Barat terus mengenakan sekatan terhadap Moscow dan membekalkan senjata kepada Kyiv.
Houthi melancarkan dron dan peluru berpandu ke kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden sejak November, mendakwa mereka menyasarkan kapal yang berkaitan dengan Israel, AS, dan Britain sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin berhubung perang Israel-Hamas di Gaza.– AFP










