WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah pesawat milik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro kerana didakwa dibeli secara haram dengan harga AS$13 juta (RM56.6 juta) dan diseludup keluar dari negara itu.
Menurut jabatan kehakiman AS, pesawat Falcon 900EX dirampas di Republik Dominika dan dipindahkan ke Florida.
Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana dan bila pesawat itu tiba di Republik Dominika.
Data penjejakan menunjukkan pesawat itu meninggalkan lapangan terbang La Isabela berhampiran ibu negara Santo Domingo semalam, dan tiba di lapangan terbang Fort Lauderdale di Florida tidak lama kemudian.
Venezuela mengecam rampasan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan merompak.
Dalam satu kenyataan, kerajaan Venezuela berkata, mereka berhak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang untuk membaiki kerugian kepada negara.
Pegawai AS berkata, pesawat itu dirampas kerana disyaki melanggar undang-undang kawalan eksport dan sekatan AS.
Katanya, satu siasatan mendapati individu yang dikaitkan dengan Maduro didakwa menggunakan syarikat yang berpangkalan di Caribbean untuk menyembunyikan penglibatan mereka dalam pembelian haram pesawat daripada sebuah syarikat di Florida pada akhir 2022 dan awal 2023.
Pesawat itu kemudiannya dieksport secara haram dari AS ke Venezuela melalui Caribbean pada April 2023.
Hujah pegawai AS bahawa penjualan dan eksport pesawat itu melanggar sekatan mungkin tidak akan diterima oleh Maduro, yang sebelum ini berulang kali menuduh Washington campur tangan dalam urusan dalaman negaranya.- BBC










