ROME: Sebanyak 27 keping duit syiling perak yang bertarikh antara 94 dan 74 sebelum Masihi ditemukan di pulau terpencil Pantelleria, di wilayah Sicily, Itali baru-baru ini.
Pakar arkeologi dari Universiti Tuebingen, Jerman, Thomas Schaefer berkata, penemuan itu dibuat semasa projek pembersihan dan pemulihan di Acropolis.
Jelas Schaefer, kawasan itu adalah sebahagian daripada Taman Arkeologi Selinunte, Cave di Cusa dan Pantelleria, yang merupakan satu tapak terbesar purba di Mediterranean.
“Lokasi penemuan itu adalah sisa-sisa tapak koloni Yunani purba yang diasaskan pada abad ketujuh sebelum Masihi.
“Ia mungkin disembunyikan semasa serangan lanun,” katanya seperti laporan Reuters.
Penemuan itu berlaku di lokasi sama sebanyak 107 duit syiling perak Rom ditemukan pada 2010, tidak jauh dari tempat di mana tiga kepala patung imperial terkenal Caesar, Agrippina dan Titus dijumpai beberapa tahun lalu.
Reuters melaporkan, duit syiling tersebut mungkin ditempa di Rom dan berasal dari Zaman Roman Republik, tempoh yang sama dengan penemuan pertama.
Ahli majlis wilayah untuk warisan budaya, Francesco Paolo berkata, penemuan itu memberikan maklumat peristiwa, hubungan perdagangan dan politik Mediterranean pada Zaman Roman Republik.











