25 sekeluarga cemas, dua kereta musnah dihempap pokok

25 sekeluarga cemas, dua kereta musnah dihempap pokok akibat ribut

SYED Norhaimi Syed Zin menunjukkan kereta Honda Stream yang dihempap pokok di Air Terjun Lata Meraung, Jerantut, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 25 sekeluarga berdepan detik cemas apabila dua daripada empat kereta milik mereka dihempap sebatang pokok besar dalam kejadian ribut di Air Terjun Lata Meraung, di sini semalam.

Ketua keluarga tersebut, Syed Norhaimi Syed Zin, 56, berkata, ketika kejadian, mereka dari lima sekeluarga yang ter­diri 10 dewasa dan 15 kanak-kanak sedang berkelah di destinasi popular itu sempena mu­sim cuti sekolah.

Menurutnya, ribut yang melanda kira-kira pukul 1.30 petang itu mengakibatkan kereta Honda Stream dan Proton Exora rosak teruk dan beberapa kemudahan yang ada di situ turut musnah dihempap pokok.

“Ketika kejadian saya dan ahli keluarga sedang berkelah dan berendam di air terjun ini di samping yang lain sedang menyiapkan juadah tengah hari. Tetapi tanpa tanda-tanda awal, berlaku angin ribut yang kuat menyebabkan suasana men­jadi kelam kabut.

“Semasa kami tiba ke lokasi pada pukul 12 tengah hari cuaca hanya mendung biasa tanpa ada tanda-tanda akan hujan lebat atau ribut, tetapi berubah dengan drastik sekitar pukul 1.30 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Syed Norhaimi yang datang dari Taman Sri Embun di sini berkata, mereka tidak sempat menjamah makanan tengah ha­ri yang sedang disediakan.

“Sedang kami menyiapkan hidangan tengah hari, tiba-tiba hujan lebat disusuli ribut yang kuat. Pada masa sama terde­ngar dentuman kuat pokok tum­bang menghempap kereta milik keluarga kami.

“Kereta itu milik adik saya, Syed Nazir dan Syed Ismail yang pulang bercuti ke Felda Sungai Tekam. Mereka dari Perlis dan Kuantan pulang sempena cuti sekolah dan Hari Malaysia.

“Pada masa kejadian, terdapat kira-kira 250 orang berkelah sekitar Air Terjun Lata Meraung dan tidak kurang dua puluh buah kereta yang diparkir di tapak letak kereta di situ,” katanya.

Bagaimanapun Syed Norhaimi bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku walaupun ada ahli keluarga nyaris terkena dahan pokok yang tumbang semasa sedang mandi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN