SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman, dipenjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan ke atas keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan penyanyi lagu ‘Kerna Dia’ dan `Mimpi Laila’ itu pada November tahun lepas.
Muhammad Yasin, lebih dikenali sebagai Yasin, sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, terus digari dan dibawa ke Penjara Kajang selepas tamat prosiding.
Hakim Norsharidah dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Sesyen terkhilaf dan mendakwa keputusan dibuat bersandarkan kepada keterangan saksi pembelaan (SP1) Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia, Dr. Ian Lloyd Anthony.
“Hakim Mahkamah Sesyen membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan gagal untuk memanggil saksi pakar untuk mematahkan keterangan SP1 yang melepas dan membebaskan responden.
“Isu di sini adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan SP1 dan juga responden memilih untuk berdiam diri,” katanya.
Malah beliau turut menyatakan, Yasin sebagai responden ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen memilih untuk berdiam diri selepas dipanggil membela diri.
“Dalam kes ini responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal di bawah undang-undang hingga legal insanity,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Norsyaridah turut memetik keterangan-keterangan saksi pendakwaan di Mahkamah Sesyen yang menerangkan prosedur dilakukan responden menguruskan penanaman pokok ganja di rumahnya, menunjukkan dia mempunyai pengetahuan dan kewarasan akal untuk melakukannya.
“SP3 (pakar bioteknologi tumbuhah, Prof. Dr. S. Sreeramanan), memberi keterangan tentang pokok kanabis yang dirampas dari rumah responden serta alatan yang ditemui di rumah tersebut yang konsisten digunakan dalam penanaman pokok kanabis.
“Keterangan SP3 menerangkan jangka masa penanaman yang mengambil masa beberapa minggu untuk tumbuh di samping penjagaan rapi,” katanya. – UTUSAN










