YEKATERINBURG: Mahkamah Russia menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada seorang penari amatur balet atas kesalahan pengkhianatan kerana mendermakan AS$51 (RM226) kepada sebuah badan amal yang menyokong Ukraine.
Ksenia Karelina yang mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS)-Russia, mengaku bersalah minggu lalu selepas perbicaraan yang dijalankan secara tertutup.
Dia yang memperoleh kewarganegaraan AS pada tahun 2021 sebelum ini tinggal di Los Angeles, namun ditangkap semasa kunjungan bersama keluarga pada Januari lalu di Yekaterinburg, kira-kira 1,600 kilometer di timur Moscow.
Pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara selama 15 tahun.
Agensi Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) menuduh badan amal Razom for Ukraine mengumpul dana untuk organisasi Ukraine yang membekalkan senjata kepada tentera Kyiv.
Bagaimanapun, ia sebaliknya memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.
Aktivis hak asasi manusia Russia menyatakan, semasa tinggal di AS, wanita itu memindahkan wang sebanyak RM226 pada hari pertama pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 22 Februari 2022.
FSB mengesan transaksi tersebut di telefon bimbitnya.
Peguam Karelina, Mikhail Mushailov berkata, anak guamnya mengakui memindahkan wang tersebut yang dipercayai untuk membantu mangsa serangan di kedua-dua belah pihak.
Beliau memberitahu media Russia, Karelina akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.
Razom for Ukraine sebelum ini menyatakan rasa terkejut dengan penahanan wanita tersebut dan menafikan pihaknya mengumpul dana untuk membeli senjata atau peluru.- BBC










