PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan tujuh individu termasuk guru besar yang juga salah seorang mangsa serangan dua wanita oleh seorang lelaki di kawasan sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya dekat sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, guru besar itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk rakaman percakapan selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya, manakala seorang lagi mangsa masih dirawat di Hospital Shah Alam.
“Setakat ini tujuh individu sudah hadir memberi keterangan berhubung kes ini.
“Semakan juga mendapati terdapat satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berhampiran surau menunjukkan kereta itu meninggalkan lokasi selepas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Media semalam melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan terhadap dua wanita di kawasan sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, tengah hari semalam.
Dua wanita yang ditikam membabitkan seorang guru berusia 52 tahun dan seorang jurujual berusia 26 kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.- UTUSAN










