Tiga PPS ditutup, mangsa banjir Masjid Tanah catat 418 orang

Tiga PPS ditutup, mangsa banjir Masjid Tanah catat 418 orang

SEBUAH klinik yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jumlah mangsa banjir kilat di Masjid Tanah di sini yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat, meskipun cuaca di Melaka dalam keadaan baik hari ini.

Setakat pukul 3.30 petang, seramai 418 mangsa daripada 127 keluarga direkodkan berbanding hanya 360 orang daripada 109 keluarga pada pukul 7 pagi tadi di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia dan Kuala Linggi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Alor Gajah memaklumkan, tiga daripada sembilan PPS telah ditutup iaitu PPS Perkim Masjid Tanah, PPS Balai Raya Kampung Ramuan China Besar dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih.

PPS yang masih beroperasi adalah PPS Balai Raya Paya Lebar, PPS Balai Raya Ayer Paabas, PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar- Rasyidin, PPS Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi, PPS Japerun Ayer Limau dan PPS Balai Raya Seri Jeram.

Dilaporkan sebanyak 23 kawasan masih dilanda bah iaitu Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau dan Kampung Sungai Jernih.

Turut terjejas adalah Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang, Kampung Berisu dan Taman Awan Biru.

Selain itu, Taman Seri Bayu 2 dan 3, Taman Seri Aman, Kampung Belimbing Dalam, Kampung Solok Ayer Limau, Kampung Seri Jeram, Kampung Ladang, Kampung Keramat Lebai, Panchor, Kampung Lubok China dan Taman Rembia Jaya juga terkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN