PETALING JAYA: Janji ‘mudah masuk syurga’ dan tidak perlu menunaikan solat lima waktu antara taktik ramai pelajar termasuk profesional tertarik menyertai kumpulan ajaran sesat.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Wan Nur Izzati Wan Nor Anas berkata, ajaran sesat terus wujud disebabkan kekeliruan dalam memahami ajaran agama yang sebenar.
“Keadaan ini lebih serius apabila terdapat golongan yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan nilai dan ajaran Islam yang sebenar demi mencari keuntungan.
“Malah, kebanyakan kumpulan ajaran sesat selalunya memanfaatkan kekurangan pengetahuan ilmu agama ini untuk mencari dan menarik pengikut baru serta sering menggunakan teknik psikologi untuk memanipulasi emosi dan kepercayaan pengikutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, tagline ‘mudah masuk syurga’ ini sangat senang menarik pengikut kerana mereka tidak memerlukan kesusahan dalam melaksanakan ajaran Islam yang betul.
Katanya, sebagai contoh, Islam mewajibkan umatnya untuk solat lima waktu tetapi terdapat ajaran yang mengatakan tidak perlu untuk solat lima waktu, hanya sekadar niat sahaja sudah memadai.
“Ajaran sesat dikatakan sangat mudah menjanjikan ‘masuk syurga’ kerana tidak perlu solat lima waktu, sehinggakan mereka ini tidak mahu menilai kebenaran secara logik akal dan terus terpedaya,” kata beliau.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, penyebaran ajaran sesat di negara ini bukan sahaja masih berleluasa tetapi kini dilakukan secara terbuka menggunakan platform-platform media sosial untuk mencari dan menarik pengikut baharu.
Mengulas lanjut, Wan Nur Izzati berkata, ketua ajaran sesat biasanya mempunyai beberapa matlamat seperti mendapatkan pengaruh kerana sebahagian daripada mereka mungkin berminat untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh ke atas pengikut, dan menikmati status yang tinggi dalam kumpulan.
“Keuntungan kewangan antara matlamat mereka kerana terdapat ketua ajaran sesat melakukannya semata-mata demi wang dan mungkin memanipulasi pengikut untuk menyumbangkan wang atau aset kepada mereka.
“Malah, terdapat dalam kalangan mereka yang melakukannya untuk kepuasan peribadi, sama ada untuk memenuhi keinginan atau untuk memenuhi keperluan psikologi mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN










