SEREMBAN: Ditimpa kemalangan jalan raya sehingga patah tulang rusuk malah koma sehingga tiga minggu merupakan cabaran yang dihadapi oleh anggota tentera, Sarjan Ahmad Ariffuddin Azhar, 39, sebelum dapat memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia dalam Bidang Pengurusan Operasi Sekuriti.
Menurut bapa kepada empat orang anak itu, dia terlibat dalam kemalangan itu pada Januari tahun lalu iaitu ketika dalam pengajian akhir kursus diplomanya itu.
“Saya memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya. Alhamdulillah, saya bernasib baik dan selepas sedar daripada koma, saya kemudiannya ditempatkan selama sebulan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
“Saya juga bersyukur Allah SWT memberikan peluang kedua untuk saya kuatkan semangat dan terus bekerja demi keluarga serta bersemangat untuk sambung pengajian dan berjaya menggenggam diploma pada hari ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ahmad Ariffuddin merupakan antara 37 graduan Diploma Kemahiran Malaysia dalam Bidang Pengurusan Operasi Sekuriti yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia yang berlangsung di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.
Majlis Konvokesyen berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Turut diraikan ialah 89 orang lagi penerima Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Pentadbiran Pejabat, Penyeliaan Operasi Sekuriti, dan Operasi Pengemasan.
Sementara itu, Dr. Sharifudin berkata, pelaksanaan Persijilan Kemahiran Malaysia itu diterajui oleh Syarikat Latihan Jabatan Keselamatan dengan kerjasama Pusat Latihan Akademi Pertahanan dan Perlindungan Awam serta My Public Skill College.
“Ia menjadikan Jabatan Keselamatan USIM satu-satunya jabatan bukan akademik yang melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat. Ini merupakan satu permulaan yang baik bagi merakyatkan ilmu seterusnya menambah baik serta memperkasakan tahap pendidikan warga USIM,” katanya lagi.-UTUSAN.









