TANJUNG MALIM: Mangsa banjir, Nur Ayu Fazira Seffee, 26, dari Kampung Pasir, Slim Village bersyukur album perkahwinannya ditemukan dalam keadaan baik meskipun kediaman keluarganya terjejas teruk ekoran insiden kepala air, kelmarin.
Menurutnya, gambar kenangan itu tidak terjejas meskipun disimpan dalam kotak yang basah terkena air.
“Ketika kejadian, saya tiada di rumah. Jadi, semua barang dan dokumen penting termasuk sijil dan album perkahwinan tidak sempat dibawa keluar.
“Bila balik rumah hari ini dan lihat kesan banjir sehingga ke paras pinggang, saya fikir mesti semua barang rosak kerana terendam dalam air.
“Namun bila diperiksa, lega apabila album perkahwinan yang diletakkan di atas rak di dalam bilik dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, banjir akibat kepala air tersebut paling buruk dialami keluarganya sepanjang tinggal di kampung berkenaan.
Sementara itu, Nurul Fatin Amira Aripin, 34, sebak apabila barangan elektrik dan peralatan rumah serta kelengkapan sekolah anak-anaknya musnah dalam kejadian itu.
Katanya, mereka hanya sempat menyelamatkan diri dengan menumpang di rumah rakan sebelum dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
“Hari ini baru saya masuk dan lihat keadaan rumah. Perasaan sedih dan sayu, susah mahu gambarkan apabila melihat rumah kotor dengan lumpur tebal.
“Mujurlah ada sukarelawan datang bantu bersihkan rumah. Jika hanya saya dan keluarga, tidak tahulah bagaimana keadaannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, semua pihak yang menguruskan kerja-kerja pemulihan di Slim River ekoran tragedi kepala air tetap mengambil sikap berhati-hati terhadap kemungkinan berlaku lagi kejadian serupa.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja-kerja tersebut akan dihentikan jika didapati ada unsur-unsur kepala air yang baharu.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang dalam proses untuk memastikan hubungan antara Kampung Slim dan Behrang tidak terputus.
“Walaupun jambatan runtuh, paip air LAP (Lembaga Air Perak) pecah, ia tidak memberikan kesan besar kerana kita ada tangki air mencukupi. Dalam masa 24 jam kita dapat kembali bekalan air,” katanya. – UTUSAN










