SK Putra, SJKT Kangar kongsi semangat perpaduan

SK Putra, SJKT Kangar kongsi semangat perpaduan

MURID-murid SK Putra dan SJKT Kangar berkumpul sempena program ziarah merdeka inisiatif SK Putra bagi memupuk semangat perpaduan sejak peringkat awal di SJKT Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam usaha memupuk semangat perpaduan sejak dari peringkat awal, Sekolah Kebangsaan (SK) Putra mengambil pendekatan mengadakan ziarah merdeka membawa murid-murid sekolah itu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar, di sini.

Program ziarah merdeka tersebut dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan antara kaum bersempena bulan kemerdekaan.

Guru Besar SK Putra, Ahmad Juanda Sakaria berkata, pelaksanaan program anjuran Unit Kokurikulum sekolah tersebut menyaksikan penglibatan seramai 200 murid dengan 20 guru.

“Menerusi penganjuran ini, murid-murid SK Putra dibawa melawat SJKT Kangar bagi menyemarakkan lagi sambutan bersempena bulan kemerdekaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Ahmad Juanda, program yang dilaksanakan itu adalah bertepatan dengan konsep Malaysia Madani dan merupakan usaha antara dua sekolah bagi mewujudkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Katanya, walaupun berlainan aliran, lawatan berkenaan dapat mendedahkan murid-murid sekolah untuk memahami konsep pembelajaran masing-masing.

“Program sebegini memang dilaksanakan setiap tahun cuma kali ini kita cuba semarakkan lagi untuk kukuhkanhubungan dua buah sekolah ini,” katanya.

Ahmad Juanda berkata, menerusi penganjuran itu, murid-murid dapat memahami budaya masing-masing.

Tambahnya, lawatan tersebut akan terus dilaksanakan selepas ini bagi memberikan impak positif dalam kalangan murid khususnya demi mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

“Kita akan terus laksanakan program ini dengan pelbagai pengisian menarik selepas ini dalam menyemarakkan perpaduan dalam kalangan murid-murid,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN