SJKC baharu dicadang guna nama Laksamana Cheng Ho

SJKC baharu dicadang guna nama Laksamana Cheng Ho

AB. RAUF Yusoh bersama pelajar cemerlang Bijak Sejarah STPM selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, Bijak Sejarah A STPM, Pelajar Huffaz Bagi Sesi Akademik 2023 dan Pelancaran Bijak SPM 2024 di MRSM Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan agar pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu kelak, diberi nama SJKC Laksamana Cheng Ho.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, cadangan itu adalah sebagai tanda titik permulaan hubungan akrab antara Melaka dengan China yang telah wujud sejak 600 tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri melihat daripada sudut persejarahan ditambah pula Kerajaan China menjadikan pelayaran Cheng Ho ke Melaka sebagai salah satu mata pelajaran sejarah.

“Pelayaran Laksamana Cheng Ho sebenarnya adalah satu nilai sejarah yang begitu tinggi dan mengimbas perkara itu, kerajaan negeri mengemukakan cadangan sekolah baharu SJKC, diberi nama Laksamana Cheng Ho.

“Kalau kita pergi ke China khususnya di wilayah Yunan, kita akan dapat melihat Muzium Cheng Ho yang menyatakan kesan sejarah hubungan antara Melaka dengan China sudah lama terjalin.

“Mengapa tidak SJKC baharu yang akan dibina di Melaka, biarlah diberi nama SJKC Laksamana Cheng Ho bagi menghargai ikatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM639,800 bagi melaksanakan program Bijak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dimanfaatkan oleh 99 buah sekolah menengah.

Menurutnya, ia memberi peluang kepada para pelajar SPM 2024 untuk mengikuti bengkel dan teknik menjawab soalan dengan lebih sistematik.

“Ini sekali gus memberi motivasi kepada pelajar untuk terus menyambung pelajaran di peringkat tertinggi, sehingga akhirnya mereka dapat kembali menyumbang kepada Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN