SINGAPURA: Kerajaan Singapura sedia memberikan kerjasama berhubung keputusan Malaysia untuk meneliti semula perjanjian penjualan air mentah kepada negara berkenaan.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Sim Ann berkata, perjanjian sedia ada yang wujud antara kedua-dua negara berkaitan isu air ketika ini adalah sangat kukuh.
“Kami sentiasa mahu menguruskan isu ini dengan sangat bertanggungjawab. Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan rakan sejawat kami di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pengamal media Malaysia yang menyertai Program Lawatan Media Malaysia (MJVP) 2024 di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA), minggu lepas.
Pada 16 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang melihat semula semua perjanjian yang ada berkaitan isu penjualan air mentah kepada Singapura.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.
Ketika ditanya berhubung tahap pencapaian dalam rundingan antara kedua-dua negara, Sim Ann berkata, sebaik-baiknya agensi yang terlibat dalam melihat perkara itu menanganinya.
Mahathir sebelum ini menyifatkan kerajaan Malaysia memberi ‘subsidi’ kepada negara seberang tambak itu apabila menjual air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari dengan kadar hanya 3 sen (SGD 0.01) bagi setiap 1,000 gelen.
Kadar harga air mentah yang disalurkan ke Singapura sebelum ini sudah melalui beberapa rundingan di antara 1998 hingga 2002 dan 2018, namun gagal mencapai kata sepakat.
Sejarah perjanjian air antara Malaysia dan Singapura pertama kali ditandatangani pada 5 Disember 1927, namun perjanjian itu terbatal dan tidak lagi diguna pakai.
Kerajaan Persekutuan Malaya kemudian memutuskan menandatangani satu lagi perjanjian dipanggil Perjanjian Air Singapura-Johor pada 1 September 1961 yang memberikan republik itu hak mendapatkan 86 juta gelen air sehari sehingga 2011 dan ia sepatutnya sudah tamat.
Bagaimanapun, Perjanjian Air Sungai Johor 1962 membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor sehingga 2061 pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Perjanjian itu turut membolehkan Singapura menjual semula bekalan air terawat kepada Malaysia pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Terdahulu, Sim Ann menyifatkan hubungan antara Singapura dan Malaysia amat penting kepada kedua-dua negara.
“Kita semua sering diberitahu, bukan sahaja kita dalam politik, malah ketika saya bermula sebagai penjawat awam bahawa hubungan dua hala ini adalah sesuatu yang sangat penting.
“Kita mungkin terlibat dalam pelbagai peringkat tetapi semua tidak ragu-ragu bahawa ini adalah hubungan yang sangat penting,” katanya. – UTUSAN










