Seragam polis, tentera laris menjelang Merdeka

Seragam polis, tentera laris menjelang Merdeka

Antara pakaian seragam pasukan keselamatan yang sesuai untuk digayakan anak-anak menjelang sambutan Hari Merdeka 31 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMA: Pakaian seragam polis, tentera dan bomba buat kanak-kanak mendapat sambutan hangat menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Bagi merealisasikan impian ‘si cilik’ menggayakan pakaian pasukan keselamatan, ibu bapa tidak berkira-kira membeli dan menempah pakaian seragam berkenaan.
Peniaga pakaian seragam, Raja Noratikah Raja Nazarudin, 31, berkata, dengan bermodalkan RM65, ibu bapa boleh me­nempah baju ‘si cilik’ berpakaian seragam tentera atau polis.

“Kita mendapat banyak tem­pahan pakaian seragam ini setiap tahun menjelang meraikan Hari Kemerdekaan.

“Pakej yang disediakan adalah tempahan jahitan baju tidak termasuk aksesori seperti lencana, topi, upah jahitan tanda nama dan pangkat.

“Pelanggan hanya perlu datang dan membawa anak untuk mengambil ukuran badan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Bandar Utama di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun sambutan merdeka lazimnya sehingga 16 September, namun pakaian seragam pasukan kese­lamatan ‘si cilik’ tersebut kekal relevan digayakan di majlis-majlis lain termasuk menyambut bulan kemerdekaan di sekolah.

Oleh itu, kata Raja Noratikah, ibu bapa selalunya menempah saiz lebih besar sedikit, jadi mereka boleh memakai baju itu sepanjang tahun.
Katanya, dia membuka tempahan untuk baju seragam pasukan keselamatan ini sejak Jun lalu.

“Tahun ini, saya cadangkan kepada pelanggan membuat tempahan seragam pasukan keselamatan buat ‘si cilik’ berusia dua tahun ke atas seawal yang mungkin.

“Setakat ini hampir 30 pasang baju pasukan keselamatan polis dan tentera buat kanak-kanak untuk tahun ini telah terjual.

“Harga RM65 ini bagi set baju dan seluar. Ini memboleh­kan kanak-kanak mengenakan pakaian seragam pasukan ke­selamatan bagi menyemarakkan semangat patriotik,” katanya.

Kata Raja Noratikah lagi, meskipun pelanggan diberi pilihan memilih pakaian seragam tersebut namun tatacara pemakaian aksesori tetap di­utamakan demi menjaga imej pasukan keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN