KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak kira latar belakang bertanggungjawab dalam mengekalkan kemerdekaan negara pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, rakyat pada hari ini memainkan peranan penting dalam mempertahan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar.
“Maksudnya, apabila kita merdeka, negara tidak boleh kembali seperti dahulu. Kita perlu memastikan (dengan kemerdekaan ini) kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang teratur dan kesejahteraan rakyat boleh dikecapi.
“Sangat penting untuk kita pastikan setiap daripada kita, termasuk pemimpin, tidak kira parti politik bertanggungjawab supaya perkara tersebut dapat dicapai.
“Politik kini menjual ideologi, tetapi mana-mana ideologi kita kena memastikan kemerdekaan itu tetap dan kekal sampai bila-bila untuk generasi akan datang merangkumi memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang teratur dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Flag Off Konvoi Kembara Merdeka di Pasar Wirawati, di sini, hari ini.
Terdahulu, Johari menerima Baton Jalur Gemilang sebagai kesinambungan jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP).
Johari turut mengagihkan bendera Jalur Gemilang kepada komuniti setempat sebelum menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan melepaskan Konvoi Kembara kira-kira jam 10 pagi.
Semalam, Baton Jalur Gemilang diserahkan kepada Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai simbolik permulaan jelajah KMJG 2024 peringkat WPKLP.
Lokasi terakhir peringkat WPKLP akan berlangsung di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Baton Jalur Gemilang kemudiannya akan diserahkan semula kepada urus setia KMJG 2024 yang akan meneruskan konvoi sebagai Kontinjen KMJG dalam Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2024 di Dataran Putrajaya. – UTUSAN










