Semarakkan Hari Kebangsaan, Matrix Concepts edar 5,000 Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Semarakkan Hari Kebangsaan, Matrix Concepts edar 5,000 Jalur Gemilang

CHAI Keng Wai (baris belakang, tengah) bersama sebahagian penerima pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan 2024 di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024, syarikat pemaju perumahan dan hartanah Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) mengambil inisiatif mengedarkan sebanyak 5,000 helai Jalur Gemilang kepada 400 komuniti setempat dan jabatan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, edaran Jalur Gemilang tersebut merupakan komitmen pihaknya bersama komuniti di Bandar Sri Sendayan serta jabatan kerajaan bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Kata beliau, antara pihak yang menerima Jalur Gemilang itu adalah terdiri Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, persatuan penduduk, ketua kampung, 10 buah sekolah dan rumah ibadat. 

“Majlis penyerahan Jalur Gemilang ini bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dalam jiwa kita semua sebagai warganegara Malaysia. Sambutan tahun ini adalah lebih istimewa dengan penglibatan lebih banyak pihak berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

“Selain itu, sebanyak 500 buah pasu anak pokok bunga raya turut diedarkan sebagai simbolik kepada bunga kebangsaan Malaysia yang sekali gus mempromosikan kesedaran alam sekitar melalui penanaman flora tempatan,”katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan 2024 di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perancangan Pembangunan MBS, Nazri A. Ghani.

Keng Wai dalam pada itu turut memberitahu, sebanyak 1,000 Jalur Gemilang juga telah dipasang di seluruh pembangunan utama Matrix Concepts di Bandar Sri Sendayan.

Sementara itu, Nazri pula berkata, pihak MBS menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak swasta di bandar Seremban untuk bersama menjayakan program sambutan Bulan Kebangsaan.

“Setakat ini penglibatan pihak-pihak  dalam mengibarkan Jalur Gemilang semakin baik kerana kita telah mengeluarkan surat pengingatan kepada peniaga agar sama- ama mengibarkannya di premis masing-masing. 

“Pada masa yang sama, MBS turut menggalakkan ahli majlis dan persatuan penduduk turut sama mengambil bahagian dengan mengibarkan  Jalur Gemilang di Kawasan perumahan masing-masing,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN