PONTIAN: Lokasi berhampiran selekoh ‘maut’ di Kilometer 51.1 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas meragut satu lagi nyawa, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pukul 4.45 petang itu menyebabkan Syed Muhammad Syahmiey Abdullah, 20, maut apabila kereta Honda Jazz yang dipandunya dari arah Johor Bahru ke Pontian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah Nissan Grand Livina.
“Arwah yang memandu bersendirian mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia pada pukul 6.40 petang semasa menerima rawatan di Hospital Pontian bagi menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohammad Shofee memberitahu, pemandu dan tiga penumpang Nissan Grand Livina yang turut mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama untuk diberi rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mempetuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh didenda minimum RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Hari ini Utusan Malaysia juga melaporkan aduan penduduk meminta pihak berkuasa melakukan sesuatu di lokasi tersebut termasuk menambah ciri-ciri keselamatan dan membaiki lampu jalan yang tidak berfungsi pada waktu malam. – UTUSAN










