‘Saya anak kesayangan bapa, tidak pukul’

‘Saya anak kesayangan bapa, tidak pukul’

HALIMATON Saadiah Saad melawat kanak-kanak warga asing yang diselamatkan oleh pihak polis ekoran kejadian bunuh melibatkan ahli keluarganya di Alor Setar. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki Rohingya berusia lima tahun didapati masih trauma dengan kejadian bunuh membabitkan ibu dan dua adik-beradiknya yang berlaku di bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, kanak-kanak itu kelihatan trauma, namun masih mahu berbual dan bermain.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi kaunseling kepada kanak-kanak itu. Kita akan menempatkannya di tempat selamat dan memastikan kebajikannya terjaga sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar bersama JKM Kedah, di sini semalam.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, kanak-kanak terbabit lebih gemar bermain berseorangan apabila diberi permainan dan tidak bertanyakan tentang keberadaan ibu bapanya.

“Keadaannya baik tanpa kecederaan, cuma ada sedikit kecederaan lama pada pipi. Dia juga beritahu dia merupakan anak kesayangan bapa dan tidak dipukul,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan pelindung JKM dengan langkah penyelamatan itu dilakukan di bawah Seksyen 17(1)(i) Akta Kanak-kanak 2001.

“JKM akan membawa kanak-kanak terbabit ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara, selain mengenal pasti waris kanak-kanak itu.

“Kita galakkan jika ada waris atau saudara mara yang mahu bertemu dan menjaga kanak-kanak ini agar tampil dan membuat permohonan ditetapkan. Bagi kanak-kanak pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kita tidak boleh buat sistem pengangkatan anak angkat,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya kejadian itu berlaku disebabkan tekanan hidup kerana keluarga berkenaan hidup gelandangan selain isu penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemukan terdampar di Pantai Leman, Kuala Kedah kelmarin sebagai anak bongsu kepada lelaki Rohingya yang membunuh isteri dan anak-anaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pengecaman itu dibuat oleh suspek termasuk mengesahkan mayat isteri dan anak perempuannya.

“Asid deoksiribonukleik (DNA) suspek, anak lelakinya berusia lima tahun yang diselamatkan serta DNA ketiga-tiga mangsa sudah diambil untuk dianalisa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×