KUALA LUMPUR: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) bagi menjejaki mangsa hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, sejak jumaat lalu.
Alat berkenaan dibawa masuk ke kawasan pencarian wanita warga India, Vijayaletchumy, 48 tahun yang masih hilang.
Petugas pasukan teknikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Agensi Nuklear Malaysia dilihat membawa alat GPR itu sekitar pukul 11 pagi.
Peranti serupa juga digunakan untuk mengesan mangsa yang tertimbus semasa kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali, Selangor pada Disember 2022.
Dalam pada itu, media difahamkan kerja-kerja pembilasan di lokasi utama di hadapan Wisma Yakin telah dijalankan pada awal pagi tadi oleh Indah Water Konsortium (IWK).
Selain itu, peralatan kamera juga digunakan di dalam pembetung sepanjang operasi pembilasan.
Kerja-kerja baik pulih juga telah dilakukan di loji IWK Pantai Dalam oleh anggota IWK bersama anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sementarara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tiada perkembangan positif setakat ini.
“Sebarang perkembangan, kita akan maklum,” katanya.- UTUSAN










