Salur kegiatan pendatang asing di Cameron Highlands kepada SPRM

Salur kegiatan pendatang asing di Cameron Highlands kepada SPRM

AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pendatang asing yang ‘menjajah’ Cameron Highlands, Pahang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada 30 Julai lalu mengambil contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani kini disewakan kepada warga asing

Kata beliau, tindakan itu ke­rana mengikut nafsu dan pen­tingkan wang ringgit, sehingga menggadai integriti.

“Al-Sultan Abdullah turut me­ngingatkan supaya mereka yang dipertanggungjawabkan mengalas amanah ini, melaksanakannya dengan penuh integriti dan tidak sesekali gelap mata apabila ditawarkan de­ngan imbuhan wang ringgit.

“Sehubungan itu, SPRM me­ngambil maklum dan menjunjung titah Sultan Pahang dan akan mengambil perhatian sewajarnya berhubung perkara ini.

“SPRM berharap masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak kami berkaitan salah laku dan salah guna kuasa bagi membanteras kegiatan ini,” katanya ketika berucap me­rasmikan majlis Pembukaan Cawangan Baharu SPRM Came­ron Highlands di Tanah Rata, Pahang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan statistik SPRM Pahang dari 2020 sehingga kini, pihaknya me­nerima 1,741 maklumat ber­kaitan rasuah.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 440 kertas penyiasatan awal dibuka diikuti 384 kertas siasatan dibuka. SPRM Pahang juga telah melakukan 282 tangkapan selain dengan 104 kes dituduh dengan 56 sabitan,”jelasnya.

Beliau menambah, SPRM Pahang turut menerima 68 maklumat mengenai sebanyak 13 kertas penyiasatan awal dibuka, tujuh kertas siasatan dibuka, sembilan tangkapan dibuat dan tiga kes pertuduhan dengan satu sabitan sejak 2020 sehingga kini.

Ahmad Khusairi memberitahu, dengan pembukaan SPRM Cawangan Cameron Highlands ini untuk memperkukuhkan fungsi operasi dan pencegahan dalam usaha membanteras rasuah secara holistik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN