KULAI: Pengundi diminta memilih calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi mengangkat suara rakyat untuk tujuan semak dan imbang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana sebarang keputusan di PRK DUN tersebut tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan ketika ini.
“Calon kita boleh bawa aspirasi Kerajaan Perpaduan. Kita juga mahu hantar seorang lagi wakil yang boleh lakukan tugas semak dan imbang kerana apa juga keputusan di PRK Nenggiri tidak menjejaskan kerajaan di Kelantan.
“Jadi, apa salahnya diberikan seorang lagi wakil yang boleh bawa suara hati rakyat terutamanya dari kawasan Gua Musang. Kita tahu banyak isu berbangkit melibatkan kawasan tersebut termasuk tanah yang digadai,” katanya kepada selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, di sini malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Mengulas gesaan Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya DAP tidak turun berkempen di PRK Nenggiri, Asyraf Wajdi memberitahu pihaknya mengalu-alukan semua parti komponen dalam kerajaan untuk datang membantu kempen.
“Kenyataan itu bukan apa-apa tetapi lebih kepada DAP tidak mempunyai sebarang cawangan di Nenggiri, namun mereka tetap membantu kita walaupun bukan turun dan berada di sana secara fizikal.Mereka juga ada pengaruh dan sokongan dalam kumpulan tertentu dan di PRK Nenggiri ini, tiada satu undi yang kita anggap tidak penting,” katanya.
Beliau memberitahu, angin perubahan sedang melanda pengundi di Kelantan, khususnya melibatkan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Hari ini (semalam), Timbalan Ketua Bahagian Bersatu bersama beberapa ratus ahlinya telah isytihar keluar parti. Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku kerana sentimen rasa ditipu oleh Pas itu ada dalam kalangan ahli Bersatu.
“Ini kerana ramai dalam kalangan mereka rasa kecewa dengan silap mata yang dibuat Pas disebabkan kerusi DUN berkenaan sebelum ini dimenangi calon daripada Bersatu,” jelasnya.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian. – UTUSAN










