GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) berharap masyarakat Orang Asli kekal menyokong dan memberi undi kepada calon parti itu pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menaruh keyakinan tinggi agar masyarakat Orang Asli istiqamah memberikan sokongan penuh kepada BN walaupun pihaknya menerima laporan pelbagai tawaran telah dikemukakan parti lawan.
“Saya mendapat laporan pelbagai pada peringkat awalnya apabila saya pergi sendiri, saya melihat dan punya keyakinan.
“Biarpun pihak lawan menggugut dan menawarkan pelbagai tawaran, tetapi saya yakin istiqamah pengundi dalam kalangan Orang Asli adalah sangat tinggi. Saya berdoa pada Allah agar mereka menetapkan di hati mereka mengundi calon BN, Awie (Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani),” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Pos Pulat di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, pada masa sama beliau berharap agar semua pengundi keluar beramai-ramai agar peratusan keluar mengundi lebih tinggi dapat dicatatkan.
Katanya, BN yakin semua pihak terlibat akan menyediakan logistik yang lengkap bagi membawa keluar pengundi.
“Saya meminta supaya mereka istiqamah dan tetapkan hati bahawa mereka tidak takut dengan ugutan pihak lawan parti politik kita termasuklah ugutan tentang geran tanah untuk pemilik, peneroka dan peserta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan lain-lain.
“Saya mengharapkan agar kali ini perubahan besar dilakukan di DUN Nenggiri ini kerana setakat ini di DUN Kelantan kita mempunyai dua ADUN dan kita harap dapat menambah seorang lagi ADUN supaya kita dapat mewujudkan tiga tungku untuk mendidihkan air bagi suhu politik di Kelantan ini,” ujarnya.
Ahmad Zahid juga mengakui bahawa PRK DUN Nenggiri merupakan PRK paling kerap dikunjungi oleh beliau iaitu sebanyak enam kali.
“Saya tidak pernah saya turun sekerap ini di PRK lain. Saya mahu memberi motivasi kepada anak-anak buah bahawa Insya-Allah Nenggiri menjadi milik kita semula,” ujarnya.-UTUSAN










