KLUANG: Selepas ‘bercuti’ daripada arena politik hampir 10 tahun, ura-ura bertiup kencang berkemungkinan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Jika itu benar, menjadi tanda tanya parti mana yang akan diwakilinya kerana sepanjang ‘percutian’ tu, beliau memberi tumpuan terhadap kerjaya sebagai pengamal undang-undang dan penasihat korporat firma antarabangsa yang memberi perhatian terhadap aspek perundangan, mediasi, tadbir urus serta pelaburan strategik.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Khairul Anwar Rahmat, 48, dilihat berkelayakan untuk menjadi taruhan mana-mana parti yang ketandusan calon berwibawa bagi kawasan DUN Mahkota apatah lagi beliau merupakan anak jati Kampung Melayu, Kluang.
Kerjaya sebagai peguam bela di Mahkamah Tinggi Malaya serta peguam syariah Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menjadikan hasratnya untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota pastinya tidak boleh dipandang sebelah mata oleh parti lawannya.
Walau bagaimanapun, ketika dihubungi Utusan Malaysia, Khairul Anwar yang kini berada di luar negara ‘mengelak’ daripada menjawab kemungkinan kembali semula ke pentas politik dengan menjadikan PRK DUN Mahkota sebagai langkah pertamanya.
Namun, mengakui ada beberapa ‘sahabat’ mencadangkan beliau untuk mengakhiri ‘percutian’ dan kembali ke pentas politik tanah air bagi menabur khidmat kepada masyarakat setempat setelah menabur bakti kepada orang ramai melalui pelbagai platform tempatan dan antarabangsa, terutamanya sebagai Pengerusi Sukarelawan Peguam (Sukaguam).
Dalam pada itu, seorang aktivis politik yang enggan namanya disiarkan mengakui ada dalam kalangan penduduk tempatan yang mahu beliau kembali aktif dan menyertai PRK DUN Mahkota sebagai satu percubaan untuk mengorak langkah baharu dalam kancah politik tanah air.
“Dalam khidmat guaman itu, Sukaguam memberikan khidmat guaman secara percuma bagi pihak yang memerlukan, terutamanya yang membabitkan kes hak asasi manusia, hak kanak-kanak, hak wanita, kes penganiayaan, jenayah dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










