TAMPIN: Polis kini memburu seorang individu yang disyaki memecah masuk dua buah rumah di Taman Clonlee 1 dan 2 di sini dan melarikan barangan berharga lebih RM5,000 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian tersebut yang dipercayai dilakukan pada waktu awal pagi semasa semua penghuni sedang tidur.
Menurutnya, suspek dipercayai masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan dan mengambil barang-barang berharga.
“Dalam kejadian ini suspek dilihat pecah masuk seorang diri membabitkan kerugian sebanyak RM1,500 dan RM4,000 di dua buah rumah berasingan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan melakukan rondaan yang lebih kerap di kawasan tersebut
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut diminta untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 064411222 atau 064431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular di media sosial kejadian pecah rumah itu di mana video kejadian itu dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).-UTUSAN,










