WASHINGTON: Seorang lelaki di Arizona diburu pihak berkuasa selepas mengugut untuk membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di media sosial.
Pejabat Sherif Wilayah Cochise memaklumkan, pihaknya kini memburu Ronald Lee Syvrud, 66, yang memiliki rekod jenayah lampau dan beberapa waran tangkap terhadapnya.
Trump yang juga calon dari Republikan kini berada di wilayah Cochise bagi kempen Pilihan Raya Presiden 2024.
Ketika ditanya tentang ancaman bunuh itu, Trump berkata, beliau tidak tahu tentangnya.
“Saya tidak mendengar apa-apa, tapi saya tidak terkejut,” katanya seperti laporan agensi berita AP.
Ugutan itu adalah yang terbaharu dibuat terhadap calon Presiden Amerika Syarikat (AS) menjelang pilihan raya pada November ini.
Awal bulan ini, seorang lelaki Virginia didakwa kerana mengugut Naib Presiden, Kamala Harris yang juga calon Presiden dari Parti Demokrat.
Pada Disember tahun lalu, seorang lelaki ditahan di New Hampshire kerana mengugut untuk membunuh calon-calon Presiden dari Parti Republikan.
Trump pada bulan lalu cedera di telinga kanan akibat terkena tembakan selepas terselamat dalam satu cubaan membunuhnya ketika satu kempen di Pennsylvania.
Susulan itu, Pengarah Perkhidmatan Rahsia, Kimberly Cheatle meletak jawatan selepas menerima desakan meluas kerana gagal melindungi Trump.- AGENSI










