JAKARTA: Indonesia mengeluarkan peraturan baharu menetapkan polis sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang membenarkan pengguguran bagi mangsa rogol di negara itu.
Langkah itu mencetuskan kritikan daripada aktivis hak asasi manusia yang menganggap perubahan itu bersifat regresif.
Pengguguran kandungan adalah haram di Indonesia kecuali jika berlaku kecemasan perubatan atau rogol.
Peraturan baharu itu menetapkan wanita yang menjadi mangsa rogol perlu mendapatkan dokumen yang hanya boleh dikeluarkan oleh polis.
Sebelum ini, mangsa boleh mendapatkan dokumen tersebut daripada profesional perubatan atau ahli psikologi.
Jurucakap polis negara tidak segera memberikan penjelasan mengenai peraturan ini, yang merupakan sebahagian daripada undang-undang kesihatan dan berkuat kuasa serta-merta, atau prosedur untuk menangani mangsa rogol.
Jurucakap Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah Indonesia (ICJR), Maidina Rahmawati berkata, polis masih belum mengeluarkan sebarang peraturan dalaman mengenai bantuan khusus untuk mangsa rogol, termasuk menyediakan kontrasepsi kecemasan atau perkhidmatan pengguguran selamat serta latihan khas pegawai.
Menurut kumpulan Feminis Jakarta, Olin Monteiro, perubahan peraturan itu mungkin menghalang mangsa rogol daripada meminta bantuan pihak berkuasa.
“Nilai-nilai ini menghalang wanita daripada mendapatkan akses ketika mereka berhak untuk menggugurkan kehamilan.
“Ia bermaksud mangsa hanya mempunyai satu pilihan. Mereka perlu pergi ke polis, jadi ia sangat membataskan,” katanya, turut menggesa semakan semula peraturan itu.









