Peserta larian meninggal dunia akibat strok haba - Utusan Malaysia

Peserta larian meninggal dunia akibat strok haba

RUSDI ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 20-an disebabkan oleh strok haba.

Lelaki berketurunan Melayu itu disahkan meninggal dunia pukul 9.39 malam ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Pengarah JKNP, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, mangsa dijumpai tidak sedarkan diri di kawasan laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung pukul 3.00 petang, Sabtu lalu.

Difahamkan mangsa menyertai program larian di sekitar Teluk Chempedak dan dipercayai pergi ke Bukit Pelindung untuk acara terbabit pada pukul 6.40 pagi pada hari yang sama.

“Mangsa dijumpai tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut. Kes tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma dalam keadaan kritikal lantas segera diberikan rawatan dan kemudian dimasukkan ke ICU.

“Keadaan beliau semakin tenat walaupun rawatan optima diberikan dan akhirnya menghembuskan nafasnya terakhir pada 25 Ogos lalu pukul 9.39 malam akibat strok haba,” katanya yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa di sini hari ini.

Menurut Rusdi, kematian akibat strok haba berkenaan merupakan kejadian kedua berlaku bagi negeri ini tahun ini.

“Sebagai makluman, kes kematian pertama akibat strok haba di Pahang berlaku pada 2 Februari lalu melibatkan anggota anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang menjalani Latihan di Bandar Jengka, Maran.

“Sehingga kini, jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada tahun ini adalah 18 kes yang mana 14 kes melibatkan kelesuan haba dan empat kes melibatkan strok haba dengan dua kematian,” ujarnya.

Beliau justeru itu menasihatkan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak komplikasi berikutan cuaca panas lebih-lebih lagi apabila beriadah atau menjalankan aktiviti luar.

“Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi Negeri Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35 darjah celcius. Julat suhu pada hari kejadian adalah dalam lingkungan 24 hingga 33 darjah celcius.

“Antara langkah boleh diambil adalah minum air kosong secukupnya, kurangkan pengambilan minuman berkafein, pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang, gunakan topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba matahari serta gunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan supaya kekal sihat di musim cuaca panas dan tidak menentu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN