KUALA LUMPUR: Pembangkang terus mempersoalkan sama ada kerajaan Perpaduan mahu menyalurkan peruntukan kepada mereka atau tidak.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana isu itu sudah berlarutan lebih dua tahun dan kini kerajaan mahu menubuhkan jawatankuasa pula sebelum menyalurkan peruntukan tersebut.
“Entah berapa kali pulak perbincangan dan tidak tahu bila mahu disalurkan. Jadi saya nak mohon penjelasan kerajaan apakah nak bagi atau tidak peruntukan tersebut,” kata beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang sudah siap dan sedia diserahkan kepada pembangkang.
Katanya, jika pihak pembangkang bersetuju dengan persefahaman itu, mereka akan menubuhkan satu jawatankuasa mesyuarat untuk ke tahap seterusnya.
Tuan Ibrahim berkata, tindakan kerajaan itu seolah-olah melengahkan atau tidak berniat untuk memberi peruntukan untuk rakyat di kawasan pembangkang.
“Sudah berlalu dua tahun kita minta dan ini dengan jawatankuasa pula dan entah berapa kali pulak perbincangan dan tidak tahu bila mahu disalurkan.
“Jadi saya nak mohon penjelasan kerajaan apakah nak bagi atau tidak peruntukan tersebut,” kata beliau.
Menurut beliau, penyaluran peruntukan sepatutnya dipermudahkan bukan terus memanjangkan lagi pemberian peruntukan.
“Dalam isu peruntukan kepada ahli parlimen, kerajaan sepatutnya meletakkan rakyat sebagai keutamaan tidak mengira di kawasan kerajaan mahupun pembangkang.
“Terima kasihlah kerajaan, walaupun kami jangka selepas perjumpaan dan perundingan, peruntukan terus disalurkan. Nampaknya kena tubuh jawatankuasa pula,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, gesaan supaya peruntukan diberi kepada ahli parlimen pembangkang sudah dikemukakan banyak kali sejak Januari tahun lalu.
Namun, kata beliau, kerajaan terus membiarkan sehingga terdapat kalangan ahli parlimen pembangkang yang terpaksa menjual beberapa aset bagi menampung keperluan bulanan pusat khidmat dan keluarga mereka sendiri. – UTUSAN










