Perpatih dipilih sebagai jenama beras Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Perpatih dipilih sebagai jenama beras Negeri Sembilan

JALALUDDIN Alias (dua dari kiri) ketika melancarkan jenama beras Negeri Sembilan iaitu Perpatih sempena penganjuran NS Fest 2024 di Dataran Nilai, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perpatih telah dipilih sebagai jenama beras Negeri Sembilan yang merupakan 100 peratus hasil dari sawah padi yang terdapat di negeri ini.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, inisiatif untuk melancarkan beras jenama sendiri adalah berobjektif membangunkan industri padi di negeri ini selain menampung keperluan penggunaan beras bagi negeri ini pada masa akan datang.

“Sumber beras ini dari hasil padi di kawasan Londah di Gemas, Jelebu, Kuala Pilah dan kawasan-kawasan lain yang diusahakan dengan tanaman padi di negeri ini.

“Tujuan kita adalah supaya semua pesawah-pesawah padi di negeri ini menghantar hasil pengeluaran mereka kepada kita untuk dikilangkan, dibungkus di atas jenama Perpatih ini, ia seterusnya diedar dan dijual bagi keperluan masyarakat di negeri ini terlebih dahulu.

“Beras Perpatih Negeri Sembilan ini buat masa ini akan diedar dan dipasarkan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan lebih penting di semua lokasi Jualan Negeri Sembilan Prihatin di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Beras Negeri Sembilan sempena penganjuran NS Fest 2024 di Dataran Nilai di sini hari ini.

Katanya, beras Perpatih tersebut akan dijual mengikut harga beras putih tempatan yang telah ditetapkan kerajaan.

Jalaluddin dalam pada itu memberitahu, jenama Perpatih tersebut dipilih hasil pertandingan menamakan jenama beras itu yang telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Sembilan sebelum ini.

“Pertandingan pemilihan nama beras ini telah mendapat sambutan dengan 599 penyertaan telah diterima dan 249 penyertaan adalah dari rakyat kelahiran Negeri Sembilan.

“Pemenang-pemenang nama beras ini telah dipilih berdasarkan penerangan yang unik dan berinfomatik serta menjurus kepada identiti Negeri Sembilan,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, menurut beliau, Negeri Sembilan kini mempunyai seluas 580 hektar yang sedang diusahakan dengan tanaman padi daripada 1,200 hektar kawasan secara keseluruhan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×