Penoreh getah Pahang merungut harga masih rendah

Penoreh getah Pahang merungut harga masih rendah

150,000 pekebun getah Pahang kecewa selepas mendakwa harga komoditi itu dibayar murah. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 20,000 pekebun kecil getah di negeri ini mendakwa mereka tidak menikmati kenaikan harga komoditi itu RM4.50 sekilogram ketika ini.

Pengerusi Biro Kebajikan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Getah Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim, 59, mendakwa, pihaknya ke­rap menerima rungutan pekebun kecil dan penoreh getah di luar bandar dan pedalaman.

“Kenaikan harga getah sehingga RM4.50 sekilogram bukan dinikmati semua pekebun atau penoreh getah khususnya pekebun di Pahang kerana kebanyakan tempat masih membeli getah RM3.30 hingga RM3.60 sekilogram.

“Agensi kerajaan kena cari mekanisme supaya membantu pekebun dan penoreh getah di Pahang sama-sama menikmati harga getah tinggi ketika ini,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara kini menikmati harga getah tertinggi RM4.50 sekilogram iaitu tertinggi dalam tempoh hampir 20 tahun.
Anuar berkata, tempoh harga getah melebihi RM4 sebelum ini cuma bertahan dua tahun kerana permintaan masih ada untuk pasaran dalam negara dan luar sebelum pokok getah di negara jiran kembali mengeluarkan hasil selepas tempoh tanam semula.

“Seperti juga sawit, kita juga akan bersaing dengan negara jiran yang juga akan mening­katkan pengeluaran mereka dalam tempoh dua tahun menerusi penggunaan teknologi, pengurusan tanaman dan pengeluaran yang lebih canggih serta terbaharu diperkenalkan oleh pakar komoditi dan industri mereka,” katanya.

Beliau berkata, jika harga getah mampu bertahan sehingga RM4.50 atau kenaikan seterusnya, Pahang masih berdepan kekurangan pengeluaran berasaskan banyak tanaman getah yang ditebang dan digantikan dengan tanaman sawit.

“Kira-kira 20,000 pekebun kecil dan penoreh berusia lebih 60 tahun yang masih meneruskan aktiviti menoreh akan meninggalkan pekerjaan yang tertua ini apabila tidak mampu lagi dari segi kudrat atau sudah meninggal dunia.

“Kebun getah tua yang terbiar di luar bandar dan pedalaman sejak 30 tahun lalu merupakan penyumbang utama pengeluaran getah kini mula terbiar berikutan pewaris dan anak mereka tidak mengusahakan walaupun ada pelbagai inisiatif daripada agensi berwajib,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN