KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melakukan perbincangan lanjut bagaimana untuk membantu meringankan bebanan peniaga yang berisiko berdepan dengan lubang benam (sinkhole) di sekitar Masjid India.
Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran berkata, banyak keluhan diterima beliau dari persatuan peniaga berkaitan tahap keselamatan di sekitar kawasan perniagaan mereka.
“DBKL ada cakap terdapat tanda-tanda lubang benam lain di lokasi ini. Ini perkara serius.
“Persatuan peniaga yang mewakili peniaga di sini ada menyatakan rasa takut mereka. Disebabkan itu, perlu ada libat urus bersama agar tiada lagi kejadian seperti sebelum ini berulang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Prabakaran berkata, persatuan peniaga ada memaklumkan mereka juga telah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa sebelum ini mengenai kejadian lubang benam.
“Ada juga saya dengar dari mereka, perkara ini (lubang benam) sudah hampir tujuh tahun berlaku. Setiap kali ada lubang benam kecil atau besar mereka hanya datang tampal kemudian balik. Bila kejadian baru-baru ini berlaku dan ada mangsa terlibat baru tular,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus sememangnya penting tetapi pihak berkuasa tidak boleh hilang fokus perkara lain.
“Banyak penghuni serta penjaja di Malayan Mansion dan Selangor Mansion membuat aduan. Jadi, saya di sini harap dapat membantu mereka mendapatkan sesi perjumpaan dengan agensi berkaitan, datuk bandar atau menteri,” ujarnya.
Prabakaran juga mendakwa para peniaga di sekitar lokasi berkenaan kehilangan lebih 70 peratus keuntungan akibat kekurangan pengunjung.