Pengembala kambing didakwa tangkap, simpan harimau kumbang - Utusan Malaysia

Pengembala kambing didakwa tangkap, simpan harimau kumbang

MOHD. Firdaus Mohd. Lani (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas dua pertuduhan menangkap dan menyimpan seekor harimau kumbang spesies Panthera Pardus dalam kebun getah di Batu Kikir, Kuala Pilah pada bulan Mac lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengembala kambing didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan menangkap dan menyimpan seekor harimau kumbang spesies Panthera Pardus dalam kebun getah di Batu Kikir, Kuala Pilah pada bulan Mac lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Mohd. Firdaus Mohd. Lani, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Firdaus didapati menyimpan seekor harimau kumbang (Panthera Pardus) di dalam sangkar kecil yang boleh menyebabkan kesakitan terhadap hidupan liar tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di dalam kebun getah Kampung Terentang, Batu Kikir di Kuala Pilah pada lebih kurang pukul 4 petang, 27 Mac lalu.

Sehubungan itu, pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Firdaus didakwa menangkap seekor harimau kumbang (Panthera Pardus) untuk melindungi haiwan ternakan dan dengan kelengahan telah gagal untuk melaporkan kejadian itu kepada mana-mana Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia termasuk spesies hidupan liar dan ternakan di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 54(3)  Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 54(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Gilmoore G Bolongon menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Mohd. Firdaus yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya kemudian memohon tidak dikenakan jaminan kerana tidak mampu.

“Saya bekerja sebagai pengembala kambing dan mempunyai tiga orang anak yang bersekolah. Pendapatan saya sebulan RM1,000 sahaja,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 September depan. Difahamkan, Mohd. Firdaus gagal membayar denda dan mahkamah telah mengeluarkan waran untuk menahannya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×