JOHOR BAHRU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan culik, mengurung dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta memiliki bahan lucah, bulan lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rasidah Roslee dan Siti Noraida Sulaiman.
Terdahulu, di hadapan Rasidah, anak tunggal itu didakwa menculik Albertine Leo Jia Hui kira-kira pukul 8.30 malam di Eco Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani, Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Win Son turut didakwa dengan niat mengurung secara salah mangsa yang sama pada pukul 4.45 pagi di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Mahagoni 9, Perniagaan Jalan Mahagoni, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 23 Julai 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun , jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Siti Noraida, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan enam pertuduhan mengumpul dan memiliki sebanyak 5,347 gambar, video serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam kad SSD dan cakera keras selain amang seksual terhadap Albertine.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Sri Kulai, Kulai pada pukul 4 petang, 24 Julai 2024 dan di sebuah bilik hotel bajet di Batang Kali, Hulu Selangor antara pukul 12.30 tengah hari, 22 Julai hingga pukul 4.45 pagi, 23 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 8(b), Seksyen 10 dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nur Zafirah Norizan dan Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil.
Dua mahkamah menetap jaminan sebanyak RM50,000 atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 20 Julai lalu, Jia Hui disedari hilang oleh ahli keluarganya pada pukul 8.30 malam ketika mereka berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri. – UTUSAN










