GAZA: Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu terhadap penduduk Palestin di beberapa kawasan di tengah Gaza, hari ini.
Jurucakap tentera, Avichay Adraee berkata, arahan pemindahan itu melibatkan penduduk Blok 2232-2240 di kawasan Maghazi dan kejiranan Salah El-Din, El-Farouk serta El-Amal.
Tentera mendakwa, kawasan itu adalah ‘zon tempur berbahaya’ yang didakwa kubu operasi Hamas.
Semalam, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk penduduk di beberapa kawasan di tengah dan selatan Gaza, yang sebelum ini ditetapkan sebagai ‘zon selamat kemanusiaan’.
Sebelum ini, beberapa kawasan seperti di Al-Mawasi, ditetapkan sebagai ‘zon selamat’ untuk penduduk Palestin yang dipindahkan akibat serangan berterusan Israel di Gaza.
Menurut organisasi kemanusiaan antarabangsa Oxfam, lebih 1.7 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal kini tinggal di kawasan Al-Mawasi dan sekitarnya.
Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan kira-kira 84 peratus wilayah Gaza berada di bawah arahan pemindahan sejak 7 Oktober tahun lepas.
Perang yang memasuki 11 bulan di Gaza mengakibatkan lebih 40,000 kematian rakyat Palestin dan melumpuhkan hampir seluruh wilayah itu.- ANADOLU











