PORT DICKSON: Penduduk di Taman Sri Pinang, Bagan Pinang di sini bimbang kejadian tanah runtuh di taman perumahan itu semakin serius sekiranya tiada tindakan segera diambil pihak berwajib bagi menyelesaikannya.
Seorang daripada mereka, E. Paul Subramaniam, 62, berkata, kejadian tanah runtuh dan tanah mendap yang berlaku pada pagi Jumaat lalu susulan hujan lebat yang berterusan turut menyebabkan sebuah rumah yang tidak berpenghuni rosak malah sebahagian struktur rumah itu juga runtuh.
Ekoran itu, dia yang tinggal menyewa bersebelahan dengan rumah itu bersama isteri dan tiga anak memberitahu mereka ditempatkan sementara di Dewan Bagan Pinang.
“Tanah di sini makin mendap sejak 21 Ogos lalu, keesokkannya mula runtuh sedikit demi sedikit, kemudiannya hujan lebat dan pada awal pagi 23 Ogos lalu, kawasan di sini terus runtuh.
“Kita boleh lihat sendiri, ada bahagian rumah di tepi ini yang sudah runtuh, keadaan memang tidak selamat buat penduduk sekiranya ia terus dibiarkan, saya harap tindakan segera dapat diambil kerana bimbang lebih banyak rumah lain terlibat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suzana Sukiman, 52, berkata, penduduk di taman perumahan tersebut sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berwajib sebelum ini berhubung kesan retakan jalan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd. Hamid ketika dihubungi berkata, pihaknya bersama Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson serta Jabatan Kerja Raya Port Dickson telah melawat tempat kejadian dan membuat anggaran kos pembaikan.










