Penduduk bimbang kehadiran harimau kumbang - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang kehadiran harimau kumbang

KHAIRUDDIN Abd. Rahman (kanan) menunjukkan keadaan bangkai anjing dikebun miliknya yang mati dengan kesan dirobek binatang liar seperti harimau ketika ditemui pemberita di Kampung Chengkau Ulu, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Penduduk di Chengkau Ulu, di sini, kini bimbang dengan kehadiran harimau kumbang di kampung itu selepas berlaku kejadian seekor anjing yang menjaga kebun mati dengan kesan seolah dibaham haiwan liar pagi tadi.

Pemilik kebun berkenaan, Khairuddin Abd. Rahman, 55, berkata, ia merupakan kejadian ketiga anjing yang terdapat di kebunnya di Jalan Kampung Padang Besar itu hilang dan mati dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, pada kejadian pagi tadi, keadaan kecederaan anjing betina tersebut begitu jelas seolah dirobek binatang seperti harimau kumbang.

“Pagi tadi semasa saya datang, saya lihat anjing ni mati dengan kesan tengkuk patah. Sudah tiga ekor anjing dalam kebun saya jadi mangsa, dua minggu sebelum ini, seekor anjing jantan tiba-tiba hilang.

“Dua hari sebelum ini pula seekor lagi anjing mati dengan kepala agak hancur. Saya fikir sebab begaduh sahaja tetapi kejadian jelas menunjukkan ia dibaham haiwan liar seakan harimau kumbang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Ujar Khairuddin lagi, kejadian itu menyebabkan pekebun sepertinya bimbang untuk ke kebun selepas ini.

“Beberapa bulan lalu saya difahamkan pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah meletakkan perangkap di kawasan berhampiran kebun namun tidak pasti sama ada harimau kumbang berjaya ditangkap atau tidak.

“Saya harap mereka dapat mengambil tindakan segera mengenai aduan ini kerana ia mengancam keselamatan pekebun dan penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya baharu sahaja menerima aduan tersebut dan akan menyiasat bagi mengetahui punca sebenar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN