KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta Mercedes-Benz dipandunya merempuh sebuah Proton Wira yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 49, Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Taman Desa, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Tan Kat Leng, 68, yang memandu Mercedes-Benz S350 tercampak keluar lalu terkena pembahagi jalan.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah sama, iaitu dari bandar Kluang menuju ke arah Ayer Hitam.
“Ketika sampai di lampu isyarat Taman Desa, pemandu kereta Proton Wira, T. Dorairaj, 68, telah menghentikan kenderaannya kerana lampu isyarat merah.
“Walau bagaimanapun, kereta Mercedes Benz dipandu Tan Kat Leng yang datang dari belakang telah merempuh kereta Proton Wira berkenaan. Akibatnya, kereta Proton Wira telah terdorong ke atas pembahagi jalan, manakala kereta Mercedes-Benz bergerak ke hadapan dan pemandunya tercampak keluar sebelum terkena pembahagi jalan.
“Pemandu kereta Mercedes-Benz yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987. – UTUSAN










