JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ketika memasuki bulatan persiaran Indah, Bukit Indah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak dari kereta Toyota Vios yang dipandunya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, rakannya yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki dan tangan.
“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta terbabit dilaporkan hilang kawalan ketika memasuki laluan bulatan persiaran Indah sebelum melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan dan rakannya turut dirawat di hospital sama.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemalangan itu boleh menghubungi Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07- 5101322, katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










